KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 11 Februari tahun depan lanjutan pengurusan kes saman fitnah dua pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin bagi menuntut ganti rugi RM1 juta setiap seorang.
Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Norhatini Abdul Hamid di kamar beliau hari ini.
Pada 22 Julai 2008, Leftenan Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isteri, Leftenan Kolonel Norhayati Hassan menyaman Raja Petra untuk menuntut ganti rugi RM1 juta setiap seorang kerana didakwa memfitnah mereka.
Plaintif mendakwa defendan memfitnahnya menerusi akuan bersumpah berunsur fitnah dengan mengaitkan mereka dengan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Dalam pernyataan tuntutan, pihak plaintif menyatakan, Raja Petra telah menulis dan mengedarkan akuan bersumpah yang diikrarkan olehnya pada 18 Jun tahun lalu yang mengandungi perkataan, pernyataan atau perucapan berunsur fitnah terhadap mereka.
Plaintif mendakwa, akuan bersumpah itu telah disiarkan dalam laman web Malaysia Today dan juga dengan niat jahat disiarkan di laman web lain serta kandungannya kemudian disiarkan dalam akhbar tempatan.
Sehubungan itu plaintif menuntut ganti rugi teladan, kos, relif lain dan injunksi menghalang defendan daripada menulis atau menerbitkan pernyataan yang memfitnah mereka.
Sumber : Utusan online *::

Catat Ulasan