KOTA KINABALU - Sebanyak 17 sekolah rendah agama di bawah pengurusan kerajaan negeri Sabah akan dinaik taraf bermula tahun ini.
Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran berkata, selain itu turut dinaik taraf adalah tiga sekolah menengah agama yang berada di bawah pengurusan kerajaan Sabah.
"Di Sabah kita mempunyai 108 buah sekolah agama tetapi kita akan menaik taraf 17 dahulu kerana keperluan mendesak demi keselesaan kepada para pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kursus Haji Perdana yang dihadiri 800 bakal jemaah Haji Sabah di sini hari ini.
Nasir berkata, penaiktarafan sekolah-sekolah tersebut melibatkan peningkatan kemudahan asas yang dilihat tidak sesuai digunakan lagi.
"Semua kemudahan yang tidak boleh digunakan akan digantikan dengan baru untuk meningkatkan sistem pembelajaran di setiap sekolah tersebut.
"Kita juga akan membina bangunan-bangunan baru bagi sekolah menengah agama Islam di kawasan Tambunan dan Beaufort yang sebelum ini terpaksa menumpang di sekolah lain," katanya.
Sementara itu, mengenai kursus haji itu, Nasir berkata, ia bertujuan memberikan pengetahuan kepada bakal jemaah haji cara mengerjakan ibadah berkenaan dengan betul.
"Niat yang ikhlas akan menjadikan ibadah haji itu sempurna," katanya.
Beliau menambah, Lembaga Urusan Tabung Haji sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan dari semasa ke semasa bagi memastikan jemaah haji dapat menunaikan ibadat dengan lengkap dan sempurna.
Sumber : Utusan *::

Catat Ulasan