~*:::PORTAL INFO:::*~
...ASSALAMUALAIKUM KEPADA ENCIK SUHAIMI, SELAMAT MENUNAIKAN FARDHU HAJI, AMPUN DAN MAAF DIPINTA, HALALKAN ILMU YANG DIBERI, SEMOGA SELAMAT SEMUANYA, AMIN... IKHLAS DARI KAMI WARGA REDAKSI tHeKaizen*
Memaparkan catatan dengan label Nasional. Papar semua catatan

Hari Malaysia Diisytihar Sebagai Cuti Umum Bermula Tahun Depan

Isnin, Oktober 19, 2009

*::19 Oktober, 2009 12:06 PM

Hari Malaysia Diisytihar Sebagai Cuti Umum Bermula Tahun Depan


KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan.

Beliau yang mengumumkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

"Dengan demikian rakyat Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar. Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan dari penjajahan, yang akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya untuk mengingati detik sejarah itu.

"Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia," katanya.

Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di mana Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang bertanya sejauh mana penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia dan jenis-jenis program yang difikirkan berkesan untuk mencapai hasrat tersebut.

Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas bermula tepat pukul 10 pagi ini dengan menyaksikan Perdana Menteri sebagai yang pertama memberikan jawapan bagi sesi pertanyaan bagi jawapan lisan pagi ini.

Perdana Menteri berkata, dengan penyertaan Sabah dan Sarawak sejak 1963, maka adalah wajar rakyat di kedua-dua negeri itu menikmati kemajuan pembangunan, pendidikan, ekonomi dan sosial seperti di Semenanjung.

"Pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting. Maka kita juga mahu suka duka rakyat di Sabah dan Sarawak dapat dirasai oleh rakyat di Semenanjung," katanya.

Mengenai gagasan 1Malaysia, Najib berkata tujuan utama konsep yang menjadi teras pentadbiran beliau sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negara adalah untuk terus memupuk perpaduan nasional di kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum.



Beliau turut menegaskan, perpaduan antara kaum itu juga merangkumi integrasi nasional antara rakyat Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang akan terus ditingkatkan.

Untuk meningkatkan perhubungan antara tiga wilayah itu, Perdana Menteri berkata, kekerapan dan kapasiti penerbangan akan terus dipertingkat selain pembinaan prasarana asas bagi dua buah negeri itu seperti jalan, bekalan air dan elektrik, sekolah, klinik dan hospital akan terus diberi keutamaan dengan menambah lebih banyak peruntukan.

"Dengan adanya perpaduan nasional, negara kita akan menjadi lebih stabil, kukuh dan aman. Negara yang aman damai pula akan menjadi asas terpenting bagi mencapai semua matlamat Wawasan 2020 yakni menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam kesemua aspek," katanya.

Najib berkata sesungguhnya perpaduan yang telah dicapai hingga ke saat ini telah membuahkan keamanan di dalam negara lebih lima dekad lepas.

"Dan ingatkan bahawa harga keamanan ini adalah terlalu mahal dan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Bagi sesiapa yang cuba memporak-perandakan perpaduan maka merekalah yang sebenarnya menghancurkan keamanan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Marcus mengenai identiti yang boleh dikaitkan dengan Malaysia seperti di Indonesia, Filipina atau Thailand, Najib berkata identiti Malaysia boleh dilihat berdasarkan kemampuannya menerima unsur lain yang dijadikan sebahagian daripada budaya setempat dan seterusnya kekuatan negara.

"Kalau kita sorot kembali asas pembinaan negara Malaysia, dari awal kita pilih jalan integrasi dan bukan asimilasi seperti negara-negara yang disebut oleh Yang Berhormat (Putatan) tadi seperti Indonesia, Filipina dan Thailand yang memilih jalan asimilasi. Ini menunjukkan pimpinan kita dari awal lagi bersikap amat terbuka.

"Kita lihat dari mula itu jalan terbaik iaitu apabila kita dapat menampilkan satu kekuatan berdasarkan perpaduan dan kepelbagaian...tiada negara lain seperti Malaysia," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang), Najib berkata gagasan 1Malaysia dianggap sebagai kesinambungan dasar-dasar yang diperkenalkan sebelumnya.

"Ia perjalanan yang lama, tidak mungkin sampai ke penghujung dalam masa sepenggal dua penggal. Kita anggap ia satu kesinambungan, dan insya-Allah apabila kita lakukan satu gagasan 1Malaysia ada nilai yang mendasari gagasan ini dan ia menyokong Wawasan 2020," katanya.

Abdul Hadi bertanya sama ada dengan penerapan gagasan 1Malaysia, bermakna kerajaan mengetepikan dasar-dasar terdahulu termasuk Islam Hadhari, Bersih Cekap dan Amanah dan Wawasan 2020.

-- BERNAMA
Read On 0 ulasan

Kementerian Pengajian Tinggi Kaji Perkenal Program Brain Share

Ahad, Oktober 18, 2009
*::18 Oktober, 2009 17:38 PM

Kementerian Pengajian Tinggi Kaji Perkenal Program Brain Share

JOHOR BAHARU, 18 Okt (Bernama) -- Kementerian Pengajian Tinggi sedang mengkaji untuk memperkenalkan program "Brain Share" bagi membolehkan rakyat Malaysia di luar negara menjadi tenaga pengajar institusi pengajian tinggi tempatan ketika sedang bercuti atau melancong ke negara ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata program itu membolehkan mereka menjadi tenaga pengajar institusi tempatan untuk tempoh tertentu tanpa perlu melepaskan kerja di luar negara.

"Rakyat Malaysia yang sedang bekerja di luar negara memiliki pelbagai kepakaran dan mereka boleh berkongsi pengetahuan yang dimiliki itu dengan menjadi tenaga pengajar di institusi tempatan tanpa perlu berhenti kerja," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Menurut beliau, mereka berkemungkinan tidak mahu berhenti bekerja di luar negara semata-mata mahu menjadi tenaga pengajar di Malaysia disebabkan beberapa faktor termasuk gaji lumayan yang diterima.

Katanya kementerian juga akan menyediakan pelbagai insentif untuk menarik rakyat Malaysia yang berkelayakan menyertai program "Brain Share" itu.

Terdahulu Mohamed Khaled yang juga anggota Parlimen Pasir Gudang menghadiri pertandingan Golf Amal Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang) Parlimen Pasir Gudang 2009.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang berkata program golf amal itu adalah untuk mengisi dana Mayang untuk membantu golongan miskin di kawasan Parlimen Pasir Gudang.

Menurutnya program pembasmian kemiskinan yang dilaksana oleh Mayang adalah selaras dengan seruan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan Umno "turun padang" mendekati rakyat dan menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

Katanya usaha-usaha seumpama yang dilakukan oleh Umno Bahagian Pasir Gudang menerusi Mayang itu akan memastikan Umno kekal relevan sebagai sebuah parti yang berjuang untuk membela nasib orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

Mohamed Khaled berkata Mayang memerlukan peruntukan kira-kira RM500,000 setahun untuk membantu 1,600 golongan miskin yang terdapat di kawasan Parlimen Pasir Gudang.

Pertandingan Golf Amal Mayang Parlimen Pasir Gudang itu telah berjaya mengumpul RM200,000 yang akan disalurkan untuk aktiviti Mayang.

-- BERNAMA
Read On 0 ulasan

1Malaysia Perjuangan Berterusan Untuk Keadilan Sosial , kata PM

Ahad, Oktober 18, 2009


*::19 Oktober, 2009 00:18 AM

1Malaysia Perjuangan Berterusan Untuk Keadilan Sosial, Kata PM


IPOH, 19 Okt (Bernama) -- Gagasan 1Malaysia bukan satu perkara yang retorik dan gimik politik atau hanya slogan semata-mata tetapi ia adalah satu perjuangan untuk berlaku adil kepada setiap rakyat, merentasi batas kaum dan agama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata di bawah gagasan 1Malaysia itu, terkandung prinsip keadilan sosial yang akan terus diperjuangkan.

"Apabila melihat salah satu prinsipnya iaitu prinsip keadilan sosial, mesti berlaku adil, supaya adil kepada orang Melayu yang mana patut diperjuangkan untuk orang Melayu, yang mana perlu beri kepada orang Cina kita beri, yang mana perlu diberi kepada orang India kita bagi.

"Jangan ada mana-mana kelompok dalam masyarakat yang rasa dia terpinggir daripada kerajaan, tidak dapat bantuan daripada kerajaan," katanya ketika berucap melancarkan program '1Malaysia Bersama Rakyat Negeri Perak' di Stadium Perak di sini Ahad malam.

Beliau juga berkata hasrat besar kerajaan di bawah model ekonomi baru untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi memerlukan kemahiran dan kepakaran semua kaum dengan semangat 1Malaysia.

Najib berkata untuk menjayakan hasrat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi setanding negara maju lain di dunia, semua kaum di Malaysia tidak boleh melihat hanya dari sudut kaum tertentu sahaja.

"Kita bercita-cita besar untuk membawa negara kepada satu lagi peringkat transformasi yang lebih besar, Malaysia tidak mahu kekal sebagai negara berpendapatan pertengahan, hasrat kita mahu jadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi untuk bersama-sama negara maju yang lain.

"Untuk itu perlukan kemahiran dari semua kaum, perlukan kepakaran dari semua kaum. Kita perlu semua kaum melihat bukan dari sudut kaum masing-masing tetapi melihat berkenaan negara Malaysia," katanya.

Perdana Menteri berkata gagasan 1Malaysia juga adalah pendekatan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 bagi membina sebuah negara bangsa Malaysia.

Katanya matlamat melahirkan bangsa Malaysia bukan bererti setiap rakyat merasai dirinya lebih Melayu, Cina atau India sebaliknya seluruh rakyat perlu menerima kepelbagaian itu sebagai satu kekuatan untuk membina negara bangsa.

"Kita terima kepelbagaian itu sebagai satu kekuatan, sebagai sesuatu yang baik untuk kita. Kita bukan gunakan toleransi sahaja kerana kalau toleransi sahaja, kita tidak akan senang hati dengan konsep 1Malaysia, itu sebab perlu melihat kepelbagaian itu sebuah kekuatan," katanya.

Najib berkata gagasan 1Malaysia bukan bermakna mengambil hak sesuatu kaum dan diberi kepada kaum yang lain, sebaliknya setiap peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan permuafakatan antara kaum akan dipertahankan.

"Gagasan 1Malaysia adalah berlandaskan perlembagaan negara dan permuafakakan antara kaum namun, kita mampu berlaku adil kepada semua kaum," katanya.

Beliau berkata sehingga hari ini, gagasan 1Malaysia yang dicetuskannya diterima baik oleh seluruh rakyat pelbagai kaum dan agama dan mereka merasa wujudnya 'sense of belonging' kepada negara.

"Sekarang bila sebut 1Malaysia, setiap rakyat merasai 'sense of belonging'. Selama ini jika kita sebut bumiputera ada juga yang rasa itu bukan 'sense of belonging', bila sebut 1Malaysia kita adalah satu keluarga yang lebih besar," katanya.

-- BERNAMA
Read On 0 ulasan

RAKAN KAIZEN

Powered By Blogger

TV WEB


P A U T A N

KATEGORI

Blogumulus by Roy Tanck and Amanda Fazani

ARKIB BERITA


...BEST VIEW WITH MOZILLA FIREFOX...


VIDEO PILIHAN

KARAOKE Bah

A U D I O



K A T A N Y A ..