*::17 Oktober, 2009 18:00 PM
Pindaan Perlembagaan Beri Peluang Golongan Terpelajar Perkuat Umno
KOTA BELUD, 17 Okt (Bernama) -- Pergerakan Pemuda Umno Sabah berpendapat pindaan Perlembagaan Umno yang baru diluluskan, akan memberi peluang dan ruang kepada golongan terpelajar bersama membela nasib bangsa Bumiputera di Sabah.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Sabah, Baharul Sawi berkata ini kerana mereka yang berpendidikan, berkaliber dan berwibawa boleh menyertai proses menentukan kepemimpinan parti yang berjuang membela nasib rakyat.
Yang penting, kata beliau, pindaan tersebut memberi ruang yang sama kepada semua untuk menawarkan diri berkhidmat.
"Ini bermakna golongan terpelajar boleh ikut serta dalam gerakan politik Umno. Jika mereka berwibawa dan diterima, sudah tentu akan dapat bersama-sama berjuang membela nasib bangsa Bumiputera di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu .
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pindaan perlembagaan parti yang diluluskan perhimpunan agung khas Umno, yang berakhir Jumaat.
Antara usul pindaan yang diluluskan ialah pemansuhan sistem kuota pencalonan sekali gus membuka ruang untuk lebih ramai menyertai pemilihan parti.
Baharul yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Belud berkata, pindaan tersebut secara umumnya akan dapat memperkuatkan parti selain menghapuskan amalan tidak sihat seperti politik wang.
"Bagi kita, pindaan perlembagaan itu memberi peluang dan ruang kepada golongan terpelajar, tapi yang penting kita perlu ikhlas dan tawaduk demi kepentingan rakyat.
"Golongan muda wajar diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan untuk meneruskan kesinambungan perjuangan parti," katanya.
Dalam pada itu, Baharul juga berkata pentingnya setiap ahli Umno menghayati amanat Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak, sambil menyatakan "kita perlu berubah dan menjadi juara pembela rakyat."
-- BERNAMA
Catat Ulasan