Sebagai bekas penyanyi, pencipta lagu dan model, Carla Bruni memang sejak lama dulu menikmati populariti.
Justeru, perkahwinannya dengan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, pada Februari 2008 sekadar memperkuatkan lagi imejnya sebagai wanita terkemuka.
Ketika bertaraf Wanita Pertama Perancis itulah Carla, 41, mengakui dia sentiasa bersaing daripada aspek penampilan menawan dengan tokoh wanita setaraf dengannya di seluruh dunia.
Kini, Carla menggunakan laman web rasminya terbarunya untuk terus mempromosi diri sebagai simbol seks antarabangsa dan ‘memiliki senyuman terukir di bibir ketika berdepan dengan sejarah’.
Bagaimanapun, di sebalik biografi bersama perincian mengenai perselisihan faham dengan bekas isteri Sarkozy, nampaknya Carla cuba menyembunyikan maklumat mengenai anak lelakinya, Aurelien.
Justeru, berjuta-juta pelawat laman webnya dari seluruh dunia sekadar berpeluang melihat pelbagai maklumat mengenai kejelitaan bekas supermodel itu.
Mengenai ‘persaingannya’ dengan isteri pemimpin negara asing, Carla menganggap Michelle Obama dan Puteri Letizia dari Sepanyol sebagai pencabar utama
Bagaimanapun, Carla hanya sesekali merujuk kepada isteri Perdana Menteri Britain, Sarah Brown.
Dalam satu daripada entri di laman webnya, Carla mencatatkan lawatannya ke Madrid, Sepanyol pada April lalu sebagai ‘satu lagi peluang membandingkan gaya Wanita Pertama.’
Katanya, bersama Michelle Obama, ia adalah perbandingan kecantikan di antara Puteri Letizia - bekas wartawan - dengan Carla Bruni-Sarkozy - bekas model terkenal.
“Daripada kasut berjenama Louboutin hingga pakaian Azzedine Alaïa, perbandingan dapat dibuat,” katanya.
Mengenai pertemuannya dengan Michelle di utara Perancis beberapa bulan lalu, laman web Carla mencatatkan: “Pada 6 Jun 2009, dua Wanita Pertama bersemuka sekali lagi untuk meraikan ulang tahun ke-65 pendaratan di Normandy. Kedua-duanya memilih pakaian putih.
“Menurut majalah Vanity Fair, Michelle Obama adalah seorang daripada 10 wanita terbaik di dunia dalam memilih pakaian.”
Entri lain dalam laman web itu turut menampakkan kecenderungan Carla membandingkan dirinya dengan isteri pemimpin dunia.
Mengenai Sarah Brown, Carla turut memberi ruang di dalam laman webnya.
Cuma, berbeza berbanding Wanita Pertama lain, Carla memilih membincangkan kerja-kerja kebajikan dilakukan Sarah, 46, daripada penampilan atau pemilihan fesyennya.
Carla juga seronok apabila Sarkozy menjadi perhatian media di seluruh dunia.
Pada masa sama, beliau seakan melupakan senarai panjang kekasih lamanya, termasuk bintang legenda muzim Britain, Mick Jagger dan Eric Clapton, serlain bekas Perdana Menteri Perancis, Laurent Fabius.
Lebih mengejutkan, Carla memilih untuk tidak mendedahkan mengenai anak lelakinya, Aurelien, yang dilahirkan hasil hubungannya dengan profesor falsafah, Raphael Enthoven.
Di kalangan orang awam, mereka sering tertanya-tanya mengapa Carla tidak pernah merakamkan gambarnya dengan budak berusia sembilan tahun itu.
Sebaliknya, baru-baru ini Carla dilihat menemani Sarkozy menghadiri sidang kemuncak global di New York bersama anak bongsu perdana menteri itu, Louis, 12.
Hanya beberapa minit selepas dilancarkan, laman web Carla, gagal dimasuki kerana menerima terlalu banyak kunjungan pada waktu sama.
Bagaimanapun, keadaan pulih tidak lama kemudian.
Sumber : Harian metro *::

Tiada ulasan:
Catat Ulasan