TAWAU: Jabatan Imigresen Tawau berjaya mendaftarkan kira-kira 40,000 pekerja asing tanpa izin dari sekitar daerah Tawau dan Kunak, di dalam Program Pemutihan Khas Fasa Pertama yang dijalankan di antara Februari hingga Julai 2009 lalu.
Ketua Imigresen Tawau, Syamil Chelvam Shah Abdullah berkata, kini Fasa Ke-2 program itu sedang dijalankan dan setakat 6 Oktober 2009, seramai 3,816 pekerja asing tanpa izin berjaya didaftarkan oleh pihaknya.
Justeru demikian, beliau dalam kenyataannya kelmarin menggesa para majikan supaya segera mendaftarkan pekerja asing tanpa izin mereka sebelum program tersebut berakhir pada 31 Oktober 2009.
Jika sebelum ini bayaran levi yang tinggi dijadikan alasan oleh pihak majikan untuk tidak mendaftarkan pekerja asing mereka katanya, kerajaan kini telah pun menawarkan potongan 50 peratus bayaran levi bersempena berlangsungnya program pendaftaran tersebut.
“Kita minta para majikan segera mengambil peluang mendaftarkan pekerja mereka sebelum program ini berakhir. Jika program ini tamat dan operasi penguatkuasaan dijalankan, mereka yang didapati berdegil tidak akan terlepas dari dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam sidang medianya kelmarin.
Untuk rekod, majikan yang menggaji PATI boleh didakwa di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, selain boleh dikenakan sebatan rotan tidak lebih enam kali.
Mereka yang memberi perlindungan kepada PATI pula boleh dihukum mengikut Seksyen 55E, akta yang sama, yang boleh membawa hukuman denda maksimum sehingga RM 30,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Syamil memberitahu bahawa bagi memudahkan majikan mendaftarkan pekerja PATI mereka, Jabatan Imigresen Tawau kini turut membuka kaunter pendaftaran pada setiap Sabtu bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan pada setiap Ahad, bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang.
“Bagaimanapun, kita harap majikan tidak terlalu berlengah untuk mendaftarkan pekerja mereka kerana jika mereka datang pada saat-saat akhir, kita khuatir ada pekerja yang tidak dapat didaftarkan,” katanya sambil memberitahu waktu kaunter beroperasi pada Ahad boleh dilanjutkan berdasarkan permintaan.
Dalam hal sama, beliau memberitahu bahawa kaunter yang dibuka pada Sabtu dan Ahad itu bagaimanapun hanya menerima bayaran levi yang menggunakan over-draft atau cek dan tidak menerima bayaran tunai.
Syamil turut menasihatkan para majikan supaya tidak menggunakan ‘orang tengah’ bagi mendaftarkan pekerja mereka, sebaliknya datang sendiri ke Pejabat Imigresen Tawau atau agensi-agensi yang diiktiraf.
Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu bahawa jumlah buruh asing yang sememangnya berdaftar di daerah ini adalah seramai kira-kira 80,000 orang, tidak termasuk yang didaftarkan di bawah program pemutihan khas tersebut.
Menyentuh hal berlainan, beliau ketika ditemui turut menasihatkan para pemegang Kad Pengenalan Penduduk Sementara supaya memastikan mereka juga mempunyai dokumen pasport yang sah kerana jika tidak, mereka sebenarnya di bawah Akta Imigresen.
Sumber : New Sabah Times *::

Tiada ulasan:
Catat Ulasan