LONDON – Najwa Ghanem iaitu isteri pertama Ketua Rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden memberitahu dalam sebuah buku baru bahawa dia diminta supaya melahirkan ramai anak oleh suaminya itu, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurutnya, Osama menjelaskan kepadanya bahawa anak yang ramai diperlukan kerana Islam memerlukan ramai pejuang.
Najwa melahirkan 11 daripada 14 anak Osama yang merupakan seorang jutawan.
Menurut wanita tersebut, ketua rangkaian Al-Qaeda itu tidak membenarkan sebarang peralatan moden berada di dalam rumahnya sepanjang mereka hidup bersama.
Kisah yang mengejutkan itu terdapat dalam buku mengenai kehidupan bersama Osama yang ditulis oleh Najwa dan anak keempatnya, Omar.
Buku itu akan dijual pada bulan depan.
Dalam buku itu, Najwa menyatakan pada 1990-an, Osama membawa keluarganya iaitu empat isteri dan 14 anak mereka berkhemah di sebuah gurun di Sudan.
Selepas menemui satu lokasi, Osama mengarahkan anak-anaknya untuk menggali parit di dalam tanah.
Semua anaknya termasuk yang berumur setahun dan dua tahun diarah supaya masuk ke dalamnya.
Tujuan Osama itu dipercayai untuk melatih anak-anaknya untuk menghadapi perang pada masa depan.
“Anda perlu menjadi berani.
“Jangan berfikir mengenai serigala atau ular,” kata Osama pada masa itu.
Apabila kanak-kanak itu mengadu mereka sejuk, ketua rangkaian Al-Qaeda itu memberitahu anak-anaknya supaya meletakkan debu pada tubuh dengan menyatakan alam semulajadi akan menjadikan mereka berasa panas.
Najwa enggan membantah ketika itu kerana berpendapat suaminya mengetahui lebih banyak perkara berbanding dirinya.
Anak keempatnya, Omar meminta memasuki Britain pada tahun lalu tetapi pihak berkuasa negara tersebut enggan membenarkannya kerana dia masih setia pada bapanya. Omar berkahwin dengan wanita Britain, Jane Felix-Brown yang lebih dikenali sebagai Zaina Alsabah yang berumur 52 tahun.
Dia pernah mengaku menjalani latihan ketenteraan bersama bapanya di Afghanistan tetapi kemudian meninggalkannya selepas menolak pandangan ketua rangkaian Al-Qaeda itu.
Omar merancang untuk tinggal bersama dengan isterinya itu di sebuah kampung di Britain tetapi permohonan visanya ditolak oleh pihak berkuasa negara tersebut.
Najwa merupakan sepupu pertama Osama dan mereka berkahwin semasa dia berumur 15 tahun manakala ketua rangkaian Al-Qaeda itu berusia 17 tahun.
Apabila mereka bertemu buat kali pertama, dia mendapati Osama seorang yang serius.
Sumber : Kosmo *::

Catat Ulasan